Ustaz Ravi telah dipukul teruk oleh abang sulungnya bila masuk Islam. Akhirnya Alhamdulillah abang dia terbuka masuk Islam tetapi…
BACA JUGA:Dari Gengster Yakuza Bertatu, Kini Lelaki Ini Menjadi Imam Masjid Di Jepun
Selain itu, Ustaz Ravi turut berkongsi bagaimana abangnya yang sebelum ini cukup menentang dia memeluk Islam, akhirnya turut memilih jalan Allah. Apa yang membuatkan beliau terharu adalah abangnya sempat memeluk Islam seminggu sebelum meninggal dunia.
Cerita Syahdu Pengalaman Ustaz Farid Ravi Memeluk Islam
Nama saya Jesiah Ravi a/l Jacob. Nama tu menunjukkan Kristian. Memang kami asalnya Kristian. Tetapi Kristian yang tidak praktis. Ayah saya meninggal ketika saya dalam perut ibu. Saya anak yatim. Ibu membesarkan saya.
Sejak kecil saya terdedah kepada suasana dan budaya Melayu Islam. Lahir dan membesar di Kg Sg Choh. Majoriti penduduk adalah Melayu. Hanya ada dua keluarga sahaja Hindu.
Saya bertuah kerana rumah sewa kami bersebelahan dengan surau. Saya sentiasa melihat apa yang berlaku di surau. Bahkan saya dan kawan-kawan masuk dan bermain dalam surau. Saya mesra dengan suasana surau dan budaya masyarakat Islam.
Di sekolah kawan-kawan ajak saya masuk kelas Pendidikan Islam. Biasanya waktu PI saya akan keluar. Bila kawan ajak supaya jangan keluar waktu Ustazah masuk, saya pun cuba duduk. Ustazah tak marah rupanya. Bahkan Ustazah senyum kepada saya. Dia restu saya dalam kelasnya.
Makin lama makin seronok saya belajar pendidikan Islam. Saya tidak disuruh baca dan hafal. Tapi oleh kerana setiap hari berada dalam kelas Pendidikan Islam itu maka banyak benda saya hafal. Saya hafal Al Fatihah. Saya hafal ayat Kursi. Saya boleh azan dan jawab azan. Boleh takbir raya dan macam2 lagi…
Masa darjah 4 darjah 5 saya sudah hafal berbagai-bagai doa. Balik rumah saya cuba baca doa makan. Mak saya sangat marah, Kau baca apa ni. Tak boleh baca. Itu Melayu punya…
Saya tanya kenapa tak boleh. Ini hanya tanda kita terima kasih kepada Tuhan.
Akhirnya mak kata, “Ikut engkau lah. Tapi jangan baca kuat-kuat.”
Maka sejak itu setiap hari saya baca macam-macam doa. Bayangkan tiap hari mak saya dengar saya baca doa makan, doa tidur. Barangkali itu memberi kesan juga kepada mak saya.
Antara yang saya tertarik dengan Pendidikan Islam ialah kisah nabi Ibrahim. Ayahnya buat berhala. Namrud sendiri tahu berhala itu tidak mampu bercakap. Tak boleh melihat. Tak boleh mudharat dan tak boleh bagi manfaat. Kisah Nabi Ibrahim ini begitu menyentap fitrah saya.
Saya kata, Ya Allah, sampai begitu sekali kita jahil kita tak fikir apa yang kita sembah selama ini. Akhirnya saya buat keputusan saya tidak akan sembah selain daripada Allah SWT.
Bila umur saya cukup 18 tahun, saya pergi Perkim bawa IC. Saya terus melafazkan dua kalimah syahadah pada hari berkenaan.
Setelah masuk Islam saya tinggal di rumah mak angkat saya. Saya cuba amalkan Islam setakat yang termampu. Namun saya tidak berani pergi ke masjid untuk solat Jumaat. Kalau saya pergi solat jumaat, nanti keluarga saya akan tahu. Abang saya garang.
Minggu kedua, mak angkat saya suruh saya pergi menunaikan solat Jumaat. Bila saya pergi solat Jumaat, maka kecoh lah satu kampung. Sampai ke pengetahuan keluarga saya.
Lalu saya dipanggil menghadap satu majlis. Semua adik beradik berkumpul. Saya ditanya kenapa masuk Islam, saya jawab sebab saya minat dengan Islam. Sambil tanya sambil dipukulnya saya.
Saya dipukul dengan sangat teruk oleh abang saya. “Aku nak kamu tinggalkan Islam,” kata abang saya.
Saya kata, “Tak boleh bang.”
Dia kata, “Kenapa tak boleh?”
“Tak boleh bang. Saya dah pilih Islam. Mati hidup saya dengan Islam.”
“Oh Islam ajar kau kurang ajar ye!”
“Kenapa marah saya masuk Islam.”
“Kerana Islam tak betul.”
Saya tanya, “Kat mana Islam tak betul. Beritahu saya.”
“Aku tak perlu beritahu engkau mana yang tak betul.Tapi aku tahu Islam tu tak betul.”
“Beritahulah saya. Saya nak tahu. Kalau tak betul, sayapun tak nak ikut agama yang tak betul. Setahu saya semuanya betul.”
“Oh kau menjawab ye….” Dia terus pukul saya. Saya undur sampai ke bucu hujung rumah dan di sana ada tiang yang tajam.
Dia tarik kepala saya dan tolak ke tiang. Kepala saya terkoyak. Darah laju mengalir. Saya kena 6-7 jahitan.
Setiap kali saya pergi Makkah, saya berdoa di multazam. Saya tak doa mintak pangkat, mintak jadi kaya, saya tak doa mintak saya jadi somebody….
Saya doa supaya Allah beri hidayah kepada mak saya. Itu saja pemberian Tuhan yang paling besar. Tidak ada lah nikmat yang lebih besar jika Allah beri hidayah kepada ibu kita. Betul dak?
Suatu hari saya jumpa mak saya. Saya anak bongsu. Macam mana sekalipun mak tak akan buang saya. Saya jumpa dia. Saya salam. Saya cium. Saya kata, “Mak saya nak mintam aaf.”
Mak kata, “Kenapa?”
“Saya banyak abai tanggung jawab saya terhadap mak.”
Mak kata, takpe, takpe.
Saya kata, “Tapi mak saya terkilan sangat.”
Mak kata, “Kenapa?”
Saya kata, “Saya akan mati. Mak juga akan mati. Penghujung hayat kita semua kita akan mati. Saya takut lepas itu mak ke tempat lain, saya ke tempat lain. Saya tak berpeluang lagi jumpa mak. Dan saya tak sanggup mak dibawa ke tempat yang saya tak suka.”
Mak saya menangis. Dia boleh faham apa maksud saya.
“Disebabkan saya Islam, mak tak Islam, nanti tempat kita tak sama mak. Kalau boleh saya nak di akhirat nanti saya dengan mak di tempat yang sama.”
Mak terus menangis. Saya kata, “Mak masuklah Islam mak.”
Mak kata, “Mak bukan tak mahu masuk Islam. Tapi kalau mak masuk Islam, nanti apa akan berlaku.”
Saya kata, “Mak jangan takut mak. Allah ada. Allah ada mak.”
“Ya mak tahu Islam agama yang baik.”
Saya ambik mak hari itu juga, “Mak jom ikut saya masuk Islam.”
Mak kata, “Jangan la hari ini.”
Saya kata, “Takpe mak. Mak Islam je lepas tu mak senyap saja. Takpe mak.”
Hari yang sama saya Islamkan mak saya.
Mak masuk Islam bulan tiga (Mac). Tarikh saya tak ingat. Yang pasti mak masuk Islam bulan tiga, bulan lima mak meninggal. Sempat la saya bawak mak belajar. Tapi makpun dah uzur masa tu.
Bagi saya kejayaan ialah bila Allah beri hidayah kepada mak saya. Satu kejayaan besar bagi saya. Sebab bukan senang nak ajak ibu masuk Islam. Saya rasa doa saya depan multazam dimakbulkan Allah.
Abang saya pula yang pukul dan halau saya. Kesabaran saya masa dipukul itu rupanya memberi kesan.
Suatu hari saya terima panggilan, “Ravi!” Saya Tanya siapa ni, lama dah orang tak panggil aku Ravi. Dia kata, “Aku abang kau.”
“Abang?”
“Ya, ini Devadas la…”
Oh ya. Devadas. Itu memang abang saya.
“Ye bang ada apa bang.
“Ravi, aku nak engkau bawa aku ke jalan lurus.”
“Jalan lurus?”
Saya tahu dia nak masuk Islam. Tapi saya tak mahu dia cakap kiasan-kiasan macam tu. Saya nak dia berterus terang.
“Abang nak masuk Islam ni. Boleh tak kau bawak aku masuk Islam.”
“Ok bang, abang kat mana. Sekarang juga saya pergi ambik abang.”
Saya masa tu kat Bangi. Dia kat Rawang. Saya bawak kereta ke sana. Sambil tu saya telefon Pejabat Agama Kuala Kubu saya kata saya nak bawa abang saya masuk Islam. Hari ni juga.
Dalam perjalanan saya tanya dia, “Dulu saya masuk Islam abang pukul saya. Teruk abang pukul. Macam mana pulak hari ni abang terbuka hati nak masuk Islam.” Sembang adik beradik la.
Dia jawab, “Engkau ingat tak masa aku pukul kau dulu engkau Tanya satu soalan.”
Memang saya dah tak ingat, dia pukul saya saya ingat la. Tapi soalan tu saya tak ingat.
“Masa aku pukul engkau, engkau tanya apa yang tak betulnya Islam ni. Aku tak dapat jawab. Sejak hari tu aku mencari-cari apa yang tak betulnya Islam ni. Lama aku cari. Tak jumpa. Tiap kali aku cari, aku tak jumpa. Maka aku tak ada pilihan lain, melainkan aku kena masuk Islam.”
Alhamdulillah, dia masuk Islam hari Isnin.
Hari Jumaat petang (selepas 5 hari), saya dapat panggilan dari rumah tumpangan saudara baru. Pukul 5 petang. Ustaz yang jaga rumah tu beritahu, “Minta maaf Ustaz. Nak beritahu satu perkara yang mengejutkan.”
Saya kata, “Apa dia?”
Dia kata, “Abang Ustaz dah meninggal!”
Saya kata dua tiga hari lepas saya jumpa dia. Dia sihat walafiat. Dia masuk Islam. Dan hari ini dia dipanggil Allah.
Allah….
Sumber : FB Dr Haji Mohd Farid Ravi via Keluarga via khalifahmedianetworks
Post a Comment