Warna hitam suntik seri pada kediaman berona neutral

Warna hitam suntik seri pada kediaman berona neutral

PADANAN rona-rona pada kediaman meliputi rona dinding dan perabot merupakan elemen paling penting tatkala menghias kediaman.

Warna hitam suntik seri pada kediaman berona neutral


Gabungan rona yang terlalu kontra atau berlawanan yang tidak ‘kena’ dengan konsep kediaman, boleh menyebabkan ia tampak serabut dan sempit.

BACA JUGA:‘Untung isteri, rumah lawa suami baik.’ Black Hanafiah kongsi suasana kediaman raih pujian. Kemas & tenang jer!

Dahulu, warna hitam merupakan antara rona yang jarang dijadikan pilihan tatkala menghias rumah dek kerana rona gelap itu berpotensi menjadikan kediaman tampil suram dan sempit.

Namun begitu kini, rona hitam semakin menjadi pilihan untuk diterapkan pada hiasan dalam kediaman, khususnya bagi dekorasi konsep moden kerana gabungan hitam dengan rona-rona bersesuaian mampu menaikkan seri sesebuah kediaman.

Bagi pasangan suami isteri, Nurfatin Aqlima Md. Sharifudin, 31, dan Che Mohamad Safwan Che Mohd. Yusoff, 33, warna hitam dipilih sebagai rona tambahan pada susun atur kediaman jenis intermediate dua tingkat milik mereka di Shah Alam, Selangor.

“Konsep dekorasi kediaman ini ialah moden kontemporari, yang mana kami menggunakan rona neutral seperti coklat sebagai rona utama, namun diberikan sedikit sentuhan rona hitam yang juga merupakan warna kegemaran saya. Bagi saya, rona hitam itu berfungsi sebagai rona kontra bagi sudut-sudut tertentu pada kediaman,” ujar Nurfatin Aqlima.





Warna hitam turut ‘diselitkan’ pada bantal-bantal kusyen.

Saat kaki melangkah masuk, rona panas seperti kuning mustard menyapa mata, menjadikan ruang tamu kediaman tampak menarik dan mendamaikan.

Dinding warna putih polos dipilih sebagai dinding utama kediaman, menjadikan percikan warna kuning pada permaidani dan bantal sofa cukup menyerlah.

Nurfatin Aqlima menyuntik warna hitam pada ruang tamu menerusi pemilihan bantal kusyen dan juga meja kopi.

Rona hitam turut dibawa ke sudut meja makan bagi mencipta kesenadaan.

Jelas Nurfatin Aqlima, sudut meja makan adalah sudut kegemarannya pada kediaman yang baru dihuni selama tujuh bulan itu.

“Ruang makan didominasi oleh dua rona kegemaran saya iaitu hitam dan juga warna asli kayu.

“Ia juga merupakan ruang kegemaran saya memandangkan ruang ini merupakan ruangan tumpuan tetamu yang datang ke rumah,” ujarnya.

Satu unit cermin panjang pula diletakkan pada dinding di ruang makan bagi menampakkan kediaman lebih luas.

Ruangan itu juga hanya dihias ringkas dengan pokok kecil dan alas meja bercorak abstrak bagi mengelakkannya nampak terlalu sarat.

Bercerita tentang ilham menghias kediaman, Nurfatin Aqlima berkata, dia dan suami banyak mengambil inspirasi menghias rumah daripada aplikasi Pinterest dan juga menerusi kelab-kelab dekorasi rumah di Facebook.

Tidak lokek berkongsi, Nurfatin Aqlima memberitahu, dia menghabiskan sekitar RM40,000 untuk kerja-kerja menghias kediaman tersebut termasuk membeli perabot dan pengubahsuaian pada dapur.




Sumber -Kosmo Digital.
________________________________________________________
Untuk dapatkan tips, petua dan masakan kegemaran dari blog ini melalui Facebook, sila LIKE page kami:

Post a Comment

Previous Post Next Post