Solat tarawih antara keistimewaan di bulan Ramadan. Hukum solat sunat terawih adalah sunat Muakkad, iaitu yang sangat dituntut (dikerjakan) oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadhan.
BACA JUGA:Subhanallah! 7 waktu doa mustajab di bulan Ramadan, rugi lepaskan
Kita boleh saja menunaikan solat sunat tarawih yang banyak ganjaran pahala ini di rumah secara sendirian atau berjemaah bersama ahli keluarga.
Berikut adalah panduan untuk menunaikan solat tarawih secara bersendirian atau berjemaah di rumah.
Bilangan rakaat
Bilangan rakaat Solat Sunat Tarawih yang biasa dilakukan Rasulullah SAW adalah 11 rakaat; terdiri dari 8 rakaat solat Tarawih dan 3 rakaat Solat Sunat Witir. Jumlah ini dipilih oleh kebanyakan umat Islam Malaysia.
Niat solat tarawih
Solat Tarawih Bersendirian
Lafaz niat solat sunat tarawih secara bersendirian ialah:
Usolli sunnatal tarawih rak’ataini lillahi taala
Maksudnya: Sahaja aku solat sunat tarawih dua rakaat kerana Allah Taala.
Solat Tarawih Berjemaah (Makmum)
Niat solat sunat tarawih secara berjemaah (sebagai makmum) adalah seperti berikut:
Usolli sunnatal tarawih rak’ataini makmuman lillahi taala
Maksudnya: Sahaja aku solat sunat tarawih dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala.
- Niat ini perlu dibaca sebelum setiap kali mengangkat takbir.
- Oleh itu, jika anda ingin mengerjakan solat sebanyak lapan rakaat, maka niat perlu dibaca sebanyak empat kali.
Bacaan solat sama seperti solat fardhu
Rukun solat sunat tarawih adalah sama seperti rukun solat solat fardu atau solat sunat yang lain. Jika terdapat beberapa beberapa bacaan tambahan di antara solat sunat tarawih ini, ia bukanlah rukun atau syarat.
Tetapi ia hanyalah semata-mata untuk mengambil peluang untuk memperbanyakkan zikir, tasbih, selawat dan doa dalam bulan Ramadan yang mulia.
Pemilihan surah
Tiada penetapan khas untuk surah yang perlu dibaca dalam solat sunat tarawih. Anda boleh membaca mana-mana surah kegemaran anda yang diingati. Pendek atau panjang terpulang.
Namun sebagai panduan, boleh saja membaca surah-surah biasa berikut selepas Al-Fatihah,:
Rakaat 1 & 2 : Surah at-Takatsur (rakaat pertama) dan surah Al-Ikhlas (rakaat kedua)
Rakaat 3 & 4 : Surah Al-Asr (rakaat pertama) dan surah Al-Ikhlas (rakaat kedua)
Rakaat 5 & 6 : Surah Al-Humazah (rakaat pertama) dan surah Al-Ikhlas (rakaat kedua)
Rakaat 7 & 8: Surah Al-Fiil (rakaat pertama) dan surah Al-Ikhlas (rakaat kedua)
Biasanya selepas selesai 4 rakaat, kita akan membaca doa terlebih dahulu sebelum mengerjakan 4 rakaat yang terakhir. Doa tersebut adalah seperti di bawah:
Doa Antara Tarawih (Selepas 4 Rakaat)
Allahumma inna nas aluka ridho ka wajannah wa na u’zubika min sahotika wannar. Allahumma innaka ghofur karimun tuhibbul afwa fagfu anna wa an jami’il muslimina wal muslimat, birahmatika ya arhamarrohimin.
Maksudnya: Ya Allah, kami meminta redha-Mu dan syurga dan kami berlindung denganMu daripada kemurkaanMu dan api neraka. Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan Mulia, Engkau sangat suka memaafkan maka maafkanlah kami dan seluruh kaum Muslimin dan Muslimat. Dengan rahmatMu Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Solat sunat witir 3 rakaat (dua salam)
Menjadi kebiasaan di negara kita solat sunat witir akan didirikan selepas selesai solat sunat tarawih.
Solat witir dilakukan sekurang-kurangnya satu rakaat, sekurang-kurangnya bagi had yang sempurna ialah tiga rakaat (dua salam).
Lafaz niat Solat Witir
Untuk bahagian solat sunat witir yang dua rakaat niatnya adalah:
Usolli sunnatal witri rak’ataini lillahi taala
Maksudnya: Sahaja aku solat witir dua rakaat kerana Allah Taala
2. Untuk bahagian solat witir yang satu rakaat lafaz niatnya ialah:
Usolli sunnatal witri rak’atan lillahi taala
Maksudnya: Sahaja aku solat sunat witir satu rakaat kerana Allah Taala.
Doa selepas solat witir
Selesai tiga rakaat solat sunat witir maka lengkaplah solat sunat tarawih.
Semoga kita beroleh ganjaran mengerjakannya pada bulan Ramadan nanti.
Sumber: akuislam.com
Sumber -Vanilla Kismis.
Post a Comment